|
|
Ex-gratia bekas hakim diumum
PUTRAJAYA 30 Okt. - Keputusan untuk mendedahkan pembayaran ex-gratia kepada bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dan lima bekas hakim kanan yang lain kepada umum diharap dapat dibuat pada sesi perbahasan peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, pihaknya telah memaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tentang permintaan ahli-ahli Parlimen supaya jumlah pembayaran itu didedahkan kepada umum.
''Kita akan melihat perkara itu kerana pembayaran tersebut menggunakan wang rakyat, kita tidak akan menyembunyikan sesuatu dan saya akan jawab di Parlimen.
''Saya bermaksud bahawa kita tidak mencuri wang rakyat, cuma Perdana Menteri mengambil perhatian tentang janjinya kepada ahli keluarga bekas hakim-hakim berkenaan untuk tidak mendedahkan jumlah pembayaran itu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Ulang Tahun Badan Pencegah Rasuah (BPR) ke-41 di Puspanitapuri di sini hari ini.
Hadir sama ialah Ketua Pengarah BPR, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan.
Mohamed Nazri mengulas mengenai jaminannya ketika menggulung perbahasan Bajet 2009 di Dewan Rakyat semalam bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai jumlah sebenar pembayaran ex-gratia kepada Salleh dan lima hakim kanan yang lain.
Semalam, Wee Choo Keong (PKR- Wangsa Maju) beberapa kali mendesak beliau mendedahkan jumlah pembayaran tersebut kerana ia merupakan wang rakyat.
Menghargai
Persidangan Dewan Rakyat penggal pertama bagi Parlimen ke-12 yang berlangsung sejak 18 Ogos lalu akan tamat pada 11 Disember ini.
Pembayaran ex-gratia itu diumumkan Perdana Menteri pada April lalu sebagai menghargai sumbangan bekas hakim-hakim yang dipecat dalam krisis kehakiman itu dan merupakan langkah kerajaan memulihkan semula kewibawaan badan kehakiman.
Bekas hakim terlibat selain Salleh ialah Tan Sri Azmi Kamaruddin, Tan Sri George Edward Seah Kim Seng, Tan Sri Wan Hamzah Mohd. Salleh, Allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdolcadeer dan Allahyarham Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh.
Menurut Mohamed Nazri, konsep ketelusan perlu diaplikasikan dalam isu pembayaran ex-gratia bekas-bekas hakim berkenaan memandangkan ketika berkhidmat, mereka selalu bercakap soal ketelusan.
''Di atas nama ketelusan kita tidak boleh menggunakan permintaan mereka untuk tidak mendedahkan jumlah pembayaran itu kepada umum," katanya.
Misteri 7 pelajar hilang di Australia
KUALA LUMPUR 30 Okt. – Sekretariat Pembelaan Masyarakat Pergerakan Pemuda UMNO bimbang serta bingung apabila menerima aduan mengenai kehilangan tujuh pelajar Malaysia termasuk tiga orang dari sebuah universiti yang sama di Australia Barat dalam tempoh empat bulan lalu.
Pengerusinya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, beliau bimbang jika wujud penglibatan mana-mana sindiket termasuk berkaitan keagamaan yang mungkin menyembunyikan pelajar-pelajar itu.
Beliau berkata, siasatan pihaknya setakat ini bagaimanapun belum menemui sebarang persamaan antara kesemua pelajar cemerlang itu melainkan kebanyakan mereka berasal dari Selangor.
Abdul Azeez berkata, bagi mendapatkan gambaran sebenar, pihaknya akan menghantar pasukan ke Australia bersama ibu bapa pelajar terbabit tidak lama lagi bagi menyiasat punca sebenar kes-kes kehilangan itu.
“Di sebuah universiti tersebut sahaja sudah tiga kes dan ada empat lagi kes di beberapa universiti lain.
“Kehilangan ini kita terima sebagai sahih apabila ibu bapa pelajar terbabit tampil membuat aduan kepada pihak sekretariat,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Abdul Azeez menambah, pihaknya mula menerima aduan daripada ibu bapa pelajar-pelajar terbabit sejak permulaan Ramadan lalu.
Katanya, sebahagian kes telah pun dirujuk kepada pihak Pertubuhan Polis Jenayah Antarabangsa (Interpol) dan Wisma Putra serta Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Australia.
Beliau berkata, ketika ini kebanyakan maklumat berhubung pelajar-pelajar yang hilang itu diperoleh melalui persatuan pelajar universiti yang terbabit.
“Kita mungkin memerlukan bantuan daripada banyak pihak lain termasuk Kementerian Pengajian Tinggi untuk mengesan semua pelajar yang hilang ini,” katanya.
Dalam pada itu, ibu bapa salah seorang pelajar yang hilang, Norzarifah Kamaruzzaman turut berada pada sidang akhbar yang sama.
Ibunya, Noraini Daud berkata, anaknya, Norzarifah terputus hubungan terus dengannya sejak 6 Oktober lalu.
Dia berkata, sebelum itu anaknya dapat dihubungi melalui telefon atau e-mel tetapi sejak tarikh berkenaan, sudah tiada ada saluran komunikasi untuk mengetahui di mana anaknya berada secara tepat.
Katanya, maklumat terakhir yang ada pada dirinya ialah anaknya itu telah mengikuti seorang lelaki bersama ibunya berpindah ke sebuah kampung kecil dinamakan Rockhampton, kira-kira 20 minit perjalanan menaiki kereta dari bandar Perth.
Tindakan anaknya berpindah dengan lelaki itu katanya, berlaku selepas Norzarifah keluar dari hospital di Perth selepas disyaki menelan hampir 50 biji Panadol.
“Punca anak saya bertindak begitu tidak saya ketahui, maklumat mengenai tindakannya itu kami tahu apabila Norzarifah menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada kakaknya pada 17 September lalu.
SMS itu seperti yang terkandung dalam laporan polis pada 23 September ialah:
“Kak, jangan bagi mak nangis, Ipah baru keluar hospital semalam dari hari Sabtu malam, overdose. Jangan bagi tahu mak, Ipah tak tahu nak buat macam mana lagi, Ipah ambil 50 biji Panadol.
“Jangan bagi tahu emak. Aku nak mati kak, jangan bagi tahu mak, tolonglah kak.”
Noraini berkata, anaknya mengikuti pengajian peringkat ijazah dalam bidang geologi dan hanya tinggal empat bulan atau satu semester sebelum pengajiannya berakhir.
“Saya dapat tahu dia sudah tidak menghadiri kuliah sejak dari empat bulan yang lalu iaitu dari Ogos,” katanya.
Dia memberitahu, Norzarifah adalah anak kedua daripada lima beradik dan memulakan pengajian di Australia sejak tahun lalu.
Menurut Noraini, anaknya mendapat keputusan 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan keputusannya di universiti terbabit juga baik sebelum ini.
LAMBAIAN KAABAH...
![]() |
| JEMAAH haji kumpulan pertama berbaris untuk menaiki bas dari Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur untuk ke Mekah, semalam. |
Rombongan pertama 355 jemaah haji Malaysia berangkat ke Tanah Suci Mekah, semalam.
Sebelum itu, Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah berkenan mengucapkan selamat jalan kepada rombongan tersebut dalam satu majlis di Kompleks Haji Kelana Jaya, Selangor.
Pada tahun ini, kira-kira 27,000 jemaah haji Malaysia akan menunaikan ibadah tersebut dengan kumpulan pertama berlepas semalam dan dijangka pulang ke tanah air pada 13 Disember ini.
Hakim letak jawatan
KUALA LUMPUR 30 Okt. – Hakim Mahkamah Tinggi Sibu, Datuk Ian Chin Hong Chong, yang pernah mendakwa hakim-hakim diugut pecat jika tidak membuat keputusan memihak kepada kerajaan, meletak jawatan berkuat kuasa 1 Disember ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator T. Murugiah berkata, hakim itu telah menghantar surat peletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 16 Julai lalu.
‘‘Beliau kini bercuti bermula 21 Ogos hingga 30 November,” katanya ketika menjawab soalan Chua Tian Chang (PKR-Batu) pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Ekoran itu, Murugiah berkata, tidak timbul keperluan untuk kerajaan menyiasat dakwaan hakim tersebut.
Menjawab soalan asal Datuk Mukhriz Mahathir (BN-Jerlun), beliau berkata, kerajaan tidak berhasrat untuk membuat representasi kepada Yang di-Pertuan Agong supaya Chin dihadapkan ke tribunal.
Pada 11 Jun lalu, ketika mengendalikan satu kes pertikaian berkaitan pilihan raya umum Mac lepas, Chin membuat dakwaan kononnya bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah mengugut menggunakan tribunal khas untuk menyingkirkan hakim yang membuat keputusan tidak menyebelahi kerajaan dalam satu persidangan pada 1997.
Dr. Mahathir bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan menyangkal yang beliau mengarahkan hakim-hakim menghadiri kem bina semangat bagi menjalani indoktrinasi prokerajaan.
Bekas Perdana Menteri itu bagaimanapun mengakui agensi kerajaan ada menganjurkan kursus Biro Tata Negara, yang mana para penceramah akan menerangkan tentang sistem politik Malaysia dengan merujuk kepada etika, nilai-nilai moral dan sistem demokrasi.
Dr. Mahathir kemudian mencadangkan kerajaan menubuhkan tribunal khas bagi menyiasat salah laku hakim tersebut.
Beliau mendakwa, Chin secara jelas melanggar etika kehakiman pada 1999 ketika mengendalikan kes di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu membabitkan syarikat seorang ahli perniagaan terkenal, yang mempunyai kaitan dengan bapa dan saudara lelakinya.
Ekoran itu pada 27 Jun lalu, Pengerusi DAP, Karpal Singh menggesa kerajaan mengambil tindakan terhadap hakim berkenaan sekiranya dakwaan Dr. Mahathir itu mempunyai merit.
Menjawab soalan tambahan Mukhriz mengenai jawatankuasa pemantau bagi menjaga tatasusila hakim-hakim, Murugiah berkata, Suruhanjaya Kehakiman yang akan diwujudkan tidak lama lagi bakal mengawasi dan membuat pemantauan perkara itu.
Selain itu, katanya, Perkara 125(3) Perlembagaan juga secara jelas memperuntukkan sesuatu tindakan.
Kaedah perkenalkan diri lebih baik
KUALA LUMPUR 28 Okt. – Kaedah memperkenalkan diri kepada perwakilan dilihat lebih berkesan untuk mereka yang akan bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO daripada debat terbuka sebagai cara memilih pemimpin.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, masih terlalu awal untuk setiap calon berdebat kerana mesyuarat perwakilan di seluruh negara juga sedang berlangsung dan akan berakhir pada awal bulan depan.
“Apa yang paling penting buat masa ini ialah semua calon seharusnya memperkenalkan diri kepada setiap perwakilan.
“Saya masih Ketua Pemuda dan sedang merancang kaedah ini untuk calon Naib Ketua Pemuda dan semua Exco yang bakal bertanding,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan upacara penyampaian bantuan kelas mudah alih (EMS) daripada syarikat pembuat kabin, VBM Distributor Sdn. Bhd. kepada kanak-kanak mangsa taufan Nargis Myanmar di sini hari ini.
Isnin lalu, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mempelawa calon-calon Ketua Pemuda UMNO berdebat bagi menjelaskan pendirian dan pelan masing-masing.
Ia disokong oleh bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo tetapi ditolak oleh Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Tun Mahathir.
Hishammuddin turut memberi amaran kepada setiap calon yang bertanding untuk berpijak di bumi nyata dan sentiasa sedar akan hala tuju UMNO yang akan dibawa pucuk pimpinan tertinggi parti kelak.
“Jangan berdebat dan membuat janji manis dan akhirnya tidak selari dengan misi pucuk pimpinan UMNO.
“Kita perlu belajar dan mengambil pengajaran daripada pilihan raya yang lalu dan memastikan Pemuda sendiri tahu hala tuju yang akan dibawa kelak,” ujarnya.
Katanya, situasi akan menjadi bertambah parah jika setiap janji dan misi dicanang calon pemimpin Pemuda hari ini hanya menjadi angan-angan dan janji manis yang tidak kesampaian kepada setiap perwakilan.
Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, platform khas untuk setiap calon yang akan bertanding mengemukakan visi dan misi mereka dilihat tidak perlu pada masa sekarang.
Mukhriz tetap enggan
JITRA 28 Okt. – Calon Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Mukhriz Tun Mahathir tetap dengan pendiriannya tidak mahu menyertai debat terbuka untuk calon-calon yang mahu merebut jawatan tersebut walaupun dua pencabarnya sudah bersetuju meneruskan rancangan berkenaan bagi menjelaskan prinsip perjuangan masing-masing.
Ahli Parlimen Jerlun itu yang mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa debat ala Amerika Syarikat tersebut kurang sesuai kerana bakal mendedahkan masalah parti untuk tatapan umum berkata, ia juga tidak membawa kepada pengukuhan dalam parti.
“Dengan pencalonan yang berjalan lancar, kita lihat perwakilan sudah kenal rapat dengan calon-calon yang menawarkan diri, cuma perlu ada sedikit pemantapan dari segi memahami lebih dekat misi dan visi setiap calon.
“Ia (pemantapan) telah dilakukan dalam perjumpaan-perjumpaan anjuran bersama Pergerakan Pemuda UMNO bahagian dan juga negeri,” kata beliau kepada pemberita pada majlis jamuan hari raya anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Jerlun di Alor Biak di sini hari ini.
Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Seputih, Datuk Abu Hassan Sarif, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jerlun, Datuk Othman Aziz dan Pengarah Kemas Negeri Kedah, Mohd. Adnan Md. Daud.
Mukhriz mengulas kenyataan seorang lagi calon Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin bahawa debat yang dicadangkannya itu bukan bermaksud untuk bercakaran tetapi bagi menjelaskan prinsip perjuangan masing-masing.
Sebelum itu, Khairy mencadangkan debat di antara calon-calon bertanding jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang ditolak oleh Mukhriz tetapi seorang lagi calon, Datuk Seri Dr. Mohd. Khir Toyo telah menyatakan kesediaan untuk berdebat.
Mengenai keputusan Khairy dan Dr. Khir yang bersetuju untuk berdebat, Mukhriz memberitahu, beliau tidak mempunyai hak untuk menghalang tetapi apa yang penting ialah ahli-ahli UMNO, orang Melayu dan rakyat Malaysia seharusnya memberi tumpuan kepada rasuah politik.
“Biarlah jika mereka (Khairy dan Dr. Khir) ingin teruskan (debat) tetapi rasuah politik terlalu berleluasa dalam pemilihan. Sebelum kita bercakap tentang misi dan visi, kita perlu bendung dahulu gejala ini kalau mahu debat secara umum,” kata beliau.
Bagaimanapun, kata Mukhriz, beliau mungkin mengubah fikiran untuk menyertai debat tersebut sekiranya beliau diyakinkan bahawa ia benar-benar boleh membawa kepada kebaikan parti.
“Setakat ini, saya tidak akan sertai debat tetapi sekiranya ada pihak boleh meyakinkan saya bahawa ia (debat) membawa kepada kebaikan atau pengukuhan parti, saya akan sertai, jika tidak pendirian saya kekal,” kata beliau.
Ditanya apakah keputusan tidak mahu berdebat itu akan menjejaskan sokongan umum kepada beliau, Mukhriz menjelaskan, perwakilan Pemuda UMNO kini sudah cukup matang dalam membuat keputusan.
“Harus diingat mereka (perwakilan) tahu menilai. Calon bukan sahaja dipilih kerana pandai bercakap tetapi yang penting bersifat jujur, amanah dan sanggup berkorban apa sekali pun untuk rakyat dan berkhidmat kepada mereka (rakyat).
“Jika di kalangan pemimpin yang dipilih tidak mempunyai kriteria penting, kesannya akan diterima pada pilihan raya umum atau pilihan raya kecil akan datang,” tambah beliau.
Menjawab satu soalan tentang isu ugutan khidmat pesanan ringkas (SMS) dalam pemilihan parti UMNO, beliau memberitahu, perkembangan terbaru itu cukup membimbangkan kerana budaya ugutan, fitnah, sekat menyekat dan salah guna kuasa bukan amalan demokrasi.
“Ini bukan amalan UMNO pada masa kini kerana sekarang adalah masanya kita mengagungkan ahli peringkat akar umbi.
“Sekarang kita nampak tindak balas perwakilan bawahan, bukti ahli buat pilihan bijak, berani bersuara dan tidak mengikut arahan pihak atasan yang tidak boleh diterima mereka,” tambah beliau.
Perayaan Deepavali landasan perkukuh perpaduan
SEREMBAN 24 Okt. - Jadikan perayaan Deepavali yang disambut oleh masyarakat beragama Hindu pada 27 Oktober ini sebagai landasan memperkukuhkan kembali perpaduan antara kaum selepas pelbagai isu dibangkitkan sebelum ini.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Alam Sekitar, Hal Ehwal Perladangan, Sumber Manusia dan Pengaduan Awam negeri, VS Mogan berkata, ia adalah waktu terbaik di mana masyarakat berbilang kaum dapat saling bermaaf-maafan dan melupakan sengketa untuk kembali dalam suasana yang harmoni.
''Dengan semangat muhibah, perayaan seperti Deepavali ini dapat membuka peluang terbaik mendekatkan diri dengan masyarakat berbilang kaum melalui konsep rumah terbuka.
''Pada masa yang sama juga, rakyat dapat memahami budaya yang dibawa masyarakat beragama Hindu serta diterjemahkan pula dalam suasana setiakawan yang tinggi dengan sikap yang lebih terbuka," kata beliau ketika dihubungi di sini hari ini.
VS Mogan yang juga Setiausaha MIC negeri berkata, Deepavali adalah perayaan nasional dan hendaklah disambut dengan penuh kesopanan.
''Kaum India di negeri ini hendaklah bersatu dan tidak bergaduh sesama sendiri. Jalinkan persaudaraan dan semangat perpaduan di antara satu sama lain. Hormatilah perayaan ini," kata beliau.
Dalam pada itu, VS Mogan turut menasihatkan masyarakat beragama Hindu yang meraikan Deepavali supaya berbelanja secara berhemat.
''Tidak salah kita meraikan Deepavali dalam suasana meriah, tetapi kita perlu sentiasa mengambil kira faktor kewangan dan jangan berbelanja secara berlebihan.
''Belilah keperluan yang penting dan kita sambutlah Deepavali dalam suasana sederhana tanpa menjejaskan kemeriahannya," kata beliau yang juga Ketua Bahagian MIC Rembau.
VS Mogan turut menggalakkan amalan kunjung-mengunjung antara satu sama lain diperluaskan supaya budaya itu tidak lenyap dalam konsep hidup moden pada hari ini.
Agensi bawah KPWKM perlu sentiasa pantau keperluan rakyat
SEREMBAN 24 Okt. - Agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) perlu sentiasa bertindak sebagai penghubung antara rakyat dan kerajaan, khususnya berkaitan penyampaian bantuan dan perkhidmatan.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Wanita, Keluarga dan Kesejahteraan Masyarakat negeri, Zainab Nasir berkata, rakyat tidak akan dibiarkan tercicir terutama golongan miskin dan ibu tunggal ketika negara sedang menuju era pembangunan pesat.
''Agensi di bawah kementerian ini akan sentiasa memantau keperluan rakyat supaya tidak ada yang tertinggal dalam arus kemajuan," kata beliau dalam ucapan sempena program bersama pelanggan kementerian berkenaan di Ruang Legar Terminal 1, di sini hari ini.
Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Mizan Maulud; Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) negeri, Mohamad Mizal Mohamad Noor; dan Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) negeri, Norhafiza Halim Faizal.
Zainab juga berharap melalui program yang diadakan itu, masyarakat akan dapat mendekati agensi seperti JKM, LPPKN serta JPW dan mengetahui kemudahan, bantuan serta perkhidmatan yang diberikan dengan lebih dekat.
''Saya amat berharap acara sebegini boleh dijadikan program tahunan agar masyarakat tahu dan peka bahawa kementerian dan agensinya sentiasa bersedia memberi perkhidmatan terbaik untuk dinikmati rakyat," ujar beliau.
Kata beliau lagi, melalui Dasar Jaringan Keselamatan Sosial (DJKS) yang dibuat kerajaan negeri, banyak bantuan telah pun diberikan kepada penerima sejajar dengan hasrat untuk membasmi kemiskinan tegar.
''Melalui JPW, mereka giat melakukan aktiviti seperti latihan, seminar keusahawanan dan sebagainya, supaya peluang meningkatkan taraf kehidupan ibu tunggal dapat dibuat dengan lebih tersusun termasuklah mendaftarkan mereka melalui Persatuan Ibu Tunggal Negeri Sembilan," ujar Zainab.
JPAM negeri siap sedia hadapi banjir
MELAKA 24 Okt. - Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) negeri sedang bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir di negeri ini ekoran musim hujan yang kerap melanda di seluruh negeri sejak kebelakangan ini.
Pengarahnya, Mat Zin Bujang berkata, setakat ini, pihaknya mendapati terdapat tanda yang menunjukkan banjir mungkin akan berlaku terutama pada penghujung tahun ini.
Menurutnya, kemungkinan itu disokong dengan kejadian banjir yang berlaku di beberapa kawasan daerah Melaka Tengah pada 29 September dan 15 Oktober lalu.
''Kejadian banjir yang sama turut berlaku di beberapa tempat dalam kawasan daerah Alor Gajah dan Jasin baru-baru ini.
''Oleh itu, bagi menghadapi sebarang kemungkinan, kita telah kerah anggota bertugas dan jentera yang secukupnya bagi menghadapi kejadian yang tidak diduga ini pada masa depan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Katanya, bagi memastikan usaha itu berjalan lancar, beliau telah mengarahkan semua anggota JPAM negeri bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlaku banjir di negeri ini.
Selain itu, jelas beliau, segala kelengkapan terutama peralatan yang digunakan bagi menjalankan operasi menyelamat juga telah diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.
''Ini bagi memastikan tidak timbul masalah masalah teknikal atau kekurangan peralatan apabila berlaku kejadian kecemasan kelak.
''Perkara ini sentiasa saya tekankan kepada anggota di jabatan ini kerana tidak mahu berlaku sebarang masalah teknikal kelak," katanya.
Menurut Mat Zin, sebanyak lapan buah bot telah diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga di negeri ini bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
Selain itu, anggota aktif seramai kira-kira 100 orang di negeri ini juga telah bersedia untuk membantu usaha menyelamat dan memindahkan mangsa-mangsa banjir ke tempat yang lebih selamat sekiranya diperlukan.
Jika berlaku sebarang kecemasan, orang ramai boleh menghubungi JPAM di talian kecemasan yang beroperasi 24 jam iaitu 06-232 9200, 06-232 8424 atau 06-232 9629.
Beliau menasihatkan orang ramai terutama ibu bapa agar sentiasa mengawasi perlakuan anak-anak mereka pada musim hujan bagi mengelakkan kejadian lemas di sungai atau tasik.
Pelajar Thai teruja jadi tetamu majlis Aidilfitri
![]() |
| PARA pelajar dari Satrinonthaburi School of Thailand turut dibawa melawat Kompleks Kraf Tangan di Seremban, baru-baru ini. |
SEREMBAN 24 Okt. - Seramai 21 pelajar dan enam guru dari Satrinonthaburi School of Thailand begitu teruja menjadi tetamu majlis sambutan Aidilfitri yang diadakan di perkarangan Kompleks Kraf di sini hari ini.
Majlis anjuran agensi dan jabatan di bawah portfolio Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu membawa pelajar dan guru berkenaan mendekati budaya, makanan dan peralatan tradisional Melayu.
Exco berkenaan, Datuk Mohamad Razi Kail berkata, rombongan dari Thailand itu telah diberi pendedahan corak kehidupan masyarakat berbilang kaum di negeri ini selain memperkenalkan mereka kepada produk pelancongan yang sedia ada.
"Mereka merupakan pelajar di sebuah sekolah yang berteraskan bahasa Inggeris dan kehadiran rombongan dari Thailand ini, dialu-alukan oleh kerajaan negeri.
"Rombongan itu akan berada di sini selama dua hari dan dijadualkan menginap di Homestay Pelegong," kata beliau.
Sementara itu, pelajar Nicha Patradhilok, 14 dari wilayah Nonthaburi, Thailand berkata, ini merupakan kunjungan pertamanya ke Negeri Sembilan dan tidak menduga bahawa penduduknya begitu ramah dan kaya dengan budaya.
"Saya teruja dengan persembahan kebudayaan, pakaian tradisional, makanan seperti sate dan lemang. Saya kira, Malaysia mempunyai masyarakat yang majmuk dan saya gembira dapat datang ke sebuah negeri yang kata dengan adat dan budaya," katanya.
Rakannya, Chavisa Ratiway, 14 dari wilayah yang sama menjelaskan, suasana jalan raya, ketenangan dan keamanan di negeri ini membuatkan dia mahu menetap lebih lama di sini.
"Ia cukup berbeza dengan Thailand yang sesak dan sentiasa sibuk. Saya rasa lebih bebas di sini. Orang Malaysia kaya dengan senyuman dan ia membuatkan hati saya sentiasa senang," katanya.
Sementara guru Satrinonthaburi School of Thailand, Visinee Nugulgit, 29 berkata, apa yang diperhatikan sejak awal tiba ke Negeri Sembilan hari ini ialah semangat perpaduan yang erat di kalangan masyarakatnya.
"Saya diberi layanan yang baik dan menjadi tetamu seperti orang kenamaan. Saya gembira berada di sini, apatah lagi dapat bertemu dengan rakyat Malaysia yang peramah.
"Ini adalah keunikan Malaysia dan sebab itulah saya menyatakan Malaysia truly Asia. Saya kagum dengan kehidupan rakyat di sini," katanya.
Arked Mara kurang sambutan
![]() |
| SEPI... HANYA dua gerai dibuka di Arked Mara Seri Kendong, Rembau. - Gambar HUSSAINI AMRAN |
REMBAU 24 Okt. - Selepas tiga bulan dibuka secara rasmi, Arked Majlis Amanah Rakyat (Mara) Seri Kendong di sini tidak mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai.
Tinjauan Utusan Malaysia hari ini mendapati hanya seorang pelanggan berada di premis perniagaan tersebut dan dua daripada 20 lot gerai di premis itu dibuka.
Menurut seorang penyewa, Mohd. Ghazali Ibrahim, 66, hasil jualan keseluruhan sepanjang tiga bulan lalu iaitu sebanyak RM229 tidak mencukupi untuk membayar sewa bulanan sebanyak RM350.
Dia yang mengusahakan perniagaan menjual cenderahati serta pakaian ihram berkata, selain kedainya, tiga gerai yang lain telah memulakan operasi pada Ogos lalu.
''Kini, hanya tinggal gerai saya dan sebuah gerai menyediakan perkhidmatan fotostat yang masih dibuka. Jika keadaan ini berterusan, mungkin kami juga menghadapi masalah untuk meneruskan perniagaan," ujarnya ketika ditemui di sini.
Jelas Ghazali, lokasi Arked Mara Seri Kendong yang terletak berhampiran dengan persimpangan Jalan Seremban-Tampin iaitu salah satu jalan utama ke selatan sememangnya strategik.
''Namun, orang ramai mungkin tidak tertarik hati untuk singgah di sini kerana tidak kesemua lot gerai yang dibuka.
''Saya yakin jika kesemua 20 lot gerai beroperasi, suasana akan menjadi lebih meriah seterusnya boleh memancing lebih ramai pelanggan ke sini," katanya.
Ghazali memberitahu, masalah itu telah dimaklumkan kepada pihak Mara namun penjelasan yang diterima tidak memuaskan.
Dia juga berharap pihak Mara mengarahkan penyewa-penyewa yang lain supaya memulakan operasi perniagaan masing-masing dengan segera.
Sementara itu, seorang pengunjung, Zakaria Mohd. Nor, 48, berkata, orang ramai akan lebih kerap berkunjung ke Arked Mara Seri Kendong sekiranya lebih banyak gerai dibuka.
''Pada masa ini, saya lihat dua buah gerai sahaja yang dibuka. Sudah tentu saya kurang berminat untuk singgah di sini selalu walaupun hampir setiap hari berulang alik dari Tampin ke Rembau," ujarnya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurut Zakaria lagi, agak merugikan jika premis perniagaan yang baru siap dibina itu tidak digunakan dengan sepenuhnya.
Pameran jom beli rumah
![]() |
| DAPAT SAMBUTAN... Beberapa pengunjung sedang mendapatkan penerangan mengenai rumah yang ditawarkan pada BPEX KL 2008 di hari pembukaannya di Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur, semalam. - Gambar ZULAZHAR SHEBLEE |
KUALA LUMPUR 24 Okt. - Memiliki kediaman yang cantik dan berada di lokasi yang strategik pastinya menjadi idaman setiap insan yang menginginkan persekitaran selesa untuk sebuah keluarga yang sempurna.
Namun, sama ada pilihan adalah rumah teres, banglo, teres dua tingkat mahupun kondominium, pangsapuri atau rumah pangsa, pastinya perkara utama yang difikirkan ketika bercadang membeli ialah faktor kemampuan dan juga peluang mendapat potongan harga.
Justeru, memilih rumah idaman bukanlah satu keputusan yang mudah memandangkan keinginan membeli sebuah rumah perlu dilengkapkan oleh faktor kewangan serta ditambah dengan keselesaan anggota keluarga apabila menduduki kediaman tersebut kelak.
Namun, seringkali pengguna merungut sukar mencari kediaman terutama bagi golongan bumiputera memandangkan masalah kewangan menjadi faktor utama ketidakmampuan memiliki kediaman yang diinginkan.
Bagi memudahkan golongan bumiputera mendapatkan maklumat tentang hartanah di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama MMC Sdn. Bhd. menganjurkan Pameran Harta Tanah Bumiputera Kuala Lumpur 2008 (BPEX KL 2008) di Pusat Pameran Mid Valley (MVEC) selama tiga hari bermula hari ini.
Pameran yang bermula dari pukul 10.30 pagi hingga 9.30 malam itu akan mempamerkan pelbagai jenis hartanah yang mampu dijadikan aset pelaburan masa depan dengan melibatkan 51 pemaju.
Pameran tersebut turut menawarkan pembelian tanah pertanian bagi pengunjung yang berminat untuk melabur di dalam perusahaan pertanian yang menjanjikan keuntungan yang berlipat ganda.
Selain itu, kebanyakan kediaman yang ditawarkan oleh pemaju adalah yang telah siap dibina lebih kurang tiga tahun. Turut dipamerkan ialah rumah yang masih di dalam pembinaan.
Menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ab.Hakim Borhan, pameran anjuran DBKL itu bertujuan membantu pemaju-pemaju perumahan mempromosikan kediaman-kediaman yang berada di sekitar ibu negara kepada bumiputera.
Katanya, sebanyak 4,800 unit kediaman, kedai dan pejabat ditawarkan pada pameran tersebut.
Selain itu, menurutnya, pameran itu juga memberi peluang kepada orang ramai membuat pilihan tepat bagi tujuan pelaburan hartanah mahupun mencari tempat kediaman yang sesuai di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
"Pameran hartanah ini diadakan setiap tahun dan pada tahun ini, pameran tersebut akan menawarkan harga rumah dari serendah RM78,000 hingga yang tertinggi bernilai RM5.6 juta dan jumlah nilai keseluruhan kuota yang ditawarkan ialah RM1.7 billion.
"Ia melibatkan pelbagai jenis rumah dari banglo, lot banglo, rumah berangkai, teres, pangsapuri, kondominium, kedai dan pejabat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Ab. Hakim berkata, bagi kemudahan orang ramai, tiga institusi kewangan turut mengambil bahagian iaitu Affin Islamic Bank Berhad, RHB Islamic Bank Berhad dan Maybank Berhad.
Katanya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) turut membuka kaunter bagi memudahkan orang ramai membuat rujukan dan semakan.
"Pameran ini akan menjadi pusat sehenti kepada bakal pembeli yang berminat untuk mendapatkan khidmat nasihat mahupun maklumat terkini mengenai pinjaman dan pembelian secara dalam talian," jelasnya.
Ab. Hakim berkata, pada pameran tersebut, orang ramai juga berpeluang mendapat pelbagai maklumat terkini mengenai pelan induk pembangunan Kuala Lumpur yang akan dapat membantu mereka membuat pilihan lokasi rumah atau kedai yang sesuai dengan kehendak mereka.
"Orang ramai juga berpeluang melihat Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020 bagi memastikan lokasi kediaman yang dibeli bersesuaian dengan pembangunan yang bakal dijalankan.
"Selain itu, pembeli juga ditawarkan potongan harga daripada lima hingga 15 peratus bagi kediaman dan kedai pejabat di samping mendapat pengecualian bayaran guaman dan perjanjian jual beli," katanya.
Orang ramai atau pemaju yang inginkan maklumat lanjut mengenai pameran itu boleh menghubungi wakil pameran iaitu MMC di talian 03-41421151.
Dirompak selepas kereta dilanggar
KOTA BHARU 24Okt. - Seorang guru perempuan cedera ditoreh dengan pisau oleh tiga penjenayah sebelum barangan berharga dan wang tunai miliknya bernilai RM25,000 dilarikan dalam satu kejadian di Kampung Peria, Kuala Krai, pagi kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi, mangsa berusia 34 tahun yang mengalami kecederaan di tangan kiri diberi rawatan pesakit luar di Hospital Kuala Krai (HKK), setelah membuat laporan polis beberapa jam kemudian.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Supritendan Abdul Rahman Jaafar berkata, kejadian berlaku apabila sebuah kereta lain melanggar kereta mangsa dari belakang ketika memandu bersendirian ke sekolahnya di kampung berkenaan.
Bagaimanapun jelasnya, sebaik mangsa keluar untuk melihat kerosakan yang dialami, dua lelaki dari kereta terbabit turut keluar, tetapi terus memaksa guru itu masuk semula ke dalam keretanya.
"Mangsa di bawa ke sebuah ladang sawit, tetapi ketika berada di dalam kereta, seorang daripada penjenayah bukan sahaja mengugut mangsa malah tangannya dicucuk dan dikelar dengan pisau Rambo," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Katanya, mereka meragut rantai leher serta semua barang kemas yang dipakai mangsa, dianggarkan bernilai RM20,000 di samping wang RM1,000
hasil kutipan yuran murid lain-lain barangan berharga di dalam beg tangannya.Abdul Rahman menambah, selepas kejadian itu, mangsa ditinggalkan di tempat kejadian bersama keretanya dan tetapi penjenayah terbabit mengambil kunci kereta sebelum melarikan diri dengan kereta yang dipandu rakan mereka.
Mangsa, ujarnya, terpaksa berjalan kaki beberapa kilometer sebelum tiba di jalan utama bagi mendapatkan bantuan orang awam untuk dihantar ke hospital tersebut dan membuat laporan polis di balai berdekatan.
Beliau berharap, orang ramai yang terserempak dengan lelaki menaiki kereta jenis Proton Wira Aeroback yang rosak di bahagian depan supaya menghubungi segera balai polis berdekatan atau menghubunginya menerusi talian 09-9666222, bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.
Guru mencabul murid ditahan
SEREMBAN 24 Okt. – Seorang guru sebuah sekolah rendah di Seremban 2 di sini ditahan polis hari ini kerana disyaki mencabul beberapa orang muridnya sejak dua tahun lalu.
Guru lelaki berusia 41 tahun itu yang pernah menerima anugerah cemerlang tahun lalu ditahan pada pukul 12.30 tengah hari ini sebaik dia tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban di Seremban 2 untuk memberi keterangan berhubung dakwaan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, guru yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak itu diminta datang ke ibu pejabat polis di sini berhubung tiga laporan polis yang dibuat ke atasnya sejak lima hari lalu.
“Dua laporan itu dibuat oleh mangsa cabul yang ketika ini menduduki tingkatan satu, sementara satu laporan lagi oleh pihak sekolah Khamis lalu,” jelasnya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sebelum ini akhbar melaporkan seorang guru lelaki sebuah sekolah rendah di sini telah mencabul pelajarnya sejak setahun lalu tetapi perkara itu tidak dilaporkan kepada pihak polis sehingga sekolah berkenaan ‘menyimpan’ lebih 10 aduan yang dibuat pelajar.
Polis kesan sindiket court scam
MIRI 24 Okt. - Polis mengenal pasti satu sindiket penipuan dikenali court scam yang menggunakan nama Polis Bukit Aman dan mahkamah di Kuala Lumpur bagi menipu wang mangsa di Sabah.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Jamaluddin Ibrahim berkata, setakat ini polis telah menerima enam laporan kes berkenaan membabitkan penipuan berjumlah RM128,000.
Menurutnya, modus operandi sindiket tersebut ialah dengan menghubungi mangsa melalui talian tetap dan memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dari Bukit Aman.
"Dalam percakapan menerusi telefon itu, anggota sindiket memberitahu mangsa supaya hadir pada hari perbicaraan di mahkamah di Kuala Lumpur.
"Kemudian, terdapat suara wanita yang bekerjasama dengan sindiket tersebut mendakwa dirinya dari bahagian pendakwaan mahkamah supaya mangsa percaya dengan rancangan sindiket itu," kata Jamaluddin.
Menurut beliau, sindiket berkenaan seterusnya mengarahkan mangsa memasukkan sejumlah wang yang diminta ke dalam akaun anggota sindiket bagi menyelesaikan kes tersebut dan mangsa tidak perlu hadir ke mahkamah.
Katanya, sindiket ini menjadikan masyarakat Cina sebagai sasaran kegiatan penipuan mereka.
Sehubungan itu tambahnya, orang ramai diingatkan supaya tidak mudah percaya dengan sindiket ini malah tidak menyerahkan wang kepada orang yang tidak dikenali bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.
"Mereka yang dihubungi oleh sindiket terbabit perlu berhubung terus dengan polis, mahkamah atau pihak bank yang terlibat sebagai langkah berjaga-jaga," ujarnya.
Mesin deposit diletup, RM30,000 lesap
![]() |
| mesin deposit wang tunai yang diletupkan di Wisma Anggerik, Shah Alam, semalam. |
SHAH ALAM 24 Okt. - Sekumpulan perompak berjaya melarikan wang berjumlah kira-kira RM30,000 selepas meletupkan mesin pendeposit wang tunai sebuah bank di Wisma Anggerik, Seksyen 26 di sini awal pagi ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi itu, kumpulan tersebut menggunakan bahan letupan untuk memecahkan mesin berkenaan sebelum melarikan diri dengan motosikal bersama wang rompakan.
Katanya, seorang saksi melihat dua lelaki menaiki motosikal memecut laju meninggalkan bangunan tersebut sejurus letupan kedengaran.
Beliau memberitahu, polis cuba mengenal pasti kedua-dua suspek melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di bank tersebut tetapi gagal kerana lensa alat berkenaan telah disembur dengan cat berwarna merah.
"Namun, kami sedang meneliti filem pada kamera itu untuk mencari sebarang petunjuk kerana ia masih berfungsi semasa kejadian," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian hari ini.
Kesan letupan itu menyebabkan panel gelas di sekeliling bank retak dan pecah bertaburan.
Menurut Khalid, polis juga sedang menyiasat sama ada kes tersebut ada kaitan dengan rompakan di sebuah bank di Bandar Kinrara, Puchong pada 13 Oktober lalu kerana menggunakan modus operandi sama.
Dalam kejadian rompakan di Puchong pada pukul 5.40 pagi itu, dua perompak cuba meletupkan sebuah mesin pengeluar wang automatik (ATM) di sebuah bank menggunakan bahan letupan buatan sendiri.
Bagaimanapun, cubaan itu gagal apabila sistem penggera keselamatan bank terbabit berbunyi menyebabkan mereka melarikan diri.
'Kami dibuang kolej tanpa sebab'

KUALA LUMPUR - Dua pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) mendakwa mereka dibuang dari kolej kediaman tanpa sebarang sebab munasabah selepas diberikan notis mengosongkan bilik kurang 24 jam pada 14 Oktober lalu.
Kedua-dua pelajar terbabit, Nor Farhana Farzieana Azmi, 21, dan Nur Shafiqa Mohd. Ali, 21, masing-masing pelajar tahun tiga Bacelor Sains Pertanian dan Bacelor Sains Pendidikan Biologi sebelum itu menginap di Blok Lekir Kolej Tun Perak (KTP) di universiti berkenaan.
Nor Farhana berkata, mereka pada mulanya tidak tersenarai untuk terus tinggal di KTP bagi semester ini tetapi rayuan telah dibuat.
"Kami merayu kerana berpendapat kami tidak patut dibuang kolej selepas memenuhi merit ditetapkan, aktif dan cemerlang akademik bagi layak terus tinggal di kolej ini.
"Ketika kemasukan semester ini, pengurusan kolej beritahu nama kami tiada dalam senarai dengan alasan tiada kekosongan tetapi selepas berbincang dengan Timbalan Pengurus KTP, mereka benarkan kami menginap.
"Namun pada 10 Oktober lalu, pintu bilik kami dikunci dan diselitkan borang permohonan Mahasiswa Luar Kampus (MLK) tanpa sebarang notis dan surat rasmi, disusuli notis mengosongkan bilik pada 14 Oktober lalu," jelasnya ditemui di Lobi Parlimen semalam.
Berikutan itu Nor Farhana memberitahu, pada 15 Oktober lalu, beliau dan Nur Shafiqa terpaksa mengangkat sebahagian barang mereka dan menumpang di bilik rakannya.
Sementara itu, Nur Shafiqa kecewa kerana tindakan itu dibuat seminggu sebelum mereka menduduki peperiksaan akhir semester ketika ini.
Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Nik Mustapha R. Abdullah ketika dihubungi menjelaskan, kedua-dua pelajar itu didapati menginap secara tidak sah di situ.
Bagaimanapun, berdasarkan laporan, beliau telah menimbang situasi pelajar berkenaan dan atas dasar prihatin, kedua-dua pelajar tersebut dibenarkan untuk terus tinggal di kolej berkenaan memandangkan minggu peperiksaan yang semakin hampir.
ASEM: PM tiba di Beijing
BEIJING 22 Okt. - Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tiba di sini malam ini untuk mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Asia-Eropah (ASEM) Ketujuh yang akan berlangsung selama dua hari bermula Jumaat ini.
Mesyuarat bertemakan 'Visi dan Tindakan: Ke Arah Penyelesaian Menang-Menang' itu cukup signifikan kerana ia menemukan ketua-ketua kerajaan dan negara dari dua benua yang dijangka memberi tumpuan untuk mengupas isu krisis kewangan global dan merumuskan langkah-langkah menanganinya.
Ketibaan Abdullah yang diiringi isteri, Datin Seri Jeanne Abdullah disambut oleh Duta Malaysia ke China, Datuk Syed Norulzaman Syed Kamarulzaman.
Turut menyambut Perdana Menteri di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing Capital ialah Timbalan Menteri Luar, Datuk Abdul Rahim Bakri.
Bercakap kepada wartawan Malaysia, Syed Norulzaman memberitahu, Perdana Menteri mempunyai jadual padat sepanjang berada di sini.
Selain menghadiri ASEM, beliau akan merasmikan pembukaan Pejabat Perwakilan Khazanah Nasional Berhad di Beijing, esok dan mengadakan pertemuan dua hala dengan ketua-ketua kerajaan negara Asia dan Eropah, Jumaat ini.
Antaranya Perdana Menteri dijadual menemui Presiden Filipina, Gloria Macapagal Arroyo; Perdana Menteri Thailand, Somchai Wongsawat; Perdana Menteri Pakistan, Syed Yusof Raza Gilani dan Presiden Cyprus, Dimitris Christofias.
Malam esok, Abdullah bakal menyertai para pemimpin ASEAN lain menghadiri jamuan makan malam sambil bekerja yang akan membincangkan krisis kewangan global untuk dibawa ke mesyuarat ketika minum pagi dengan Jepun, Korea Selatan dan China (ASEAN+3).
Selepas mengadakan beberapa pertemuan dua hala, Perdana Menteri akan menyertai anggota ASEM menghadiri upacara pembukaan rasmi di Great Hall of The People yang akan disempurnakan oleh Perdana Menteri China, Wen Jiabao.
Ini akan diikuti dengan sesi perbincangan tertutup pertama bertajuk Isu-Isu Global: Jaminan Makanan, Pengurusan dan Kesiapsiagaan Menghadapi Bencana.
Hari terakhir mesyuarat ASEM Sabtu ini akan dimulakan dengan sesi kedua bertajuk Ekonomi Dunia dan Situasi Kewangan sebelum berhenti rehat dan bersambung semula dengan sesi ketiga bertajuk Memacu Pembangunan Mampan.
Para pemimpin ASEM kemudiannya akan membincangkan soal Pembangunan Antarabangsa dan Rantau pada jamuan tengah hari sebelum meneruskan sidang pleno keempat dan terakhir mengenai Memperkukuh Dialog Kalangan Tamadun.
Perdana Menteri dijadual berlepas pulang ke Kuala Lumpur sejurus menghadiri upacara penutup dan menyertai sidang media pada akhir mesyuarat.
Sejak ditubuhkan pada 1996 di Bangkok, Thailand, ASEM semakin kukuh dengan bilangan anggotanya bertambah daripada 26 kepada 45 anggota, yang mewakili lebih 60 peratus penduduk dunia, lebih 50 peratus ekonomi global dan lebih 60 perdagangan dunia.
Selain 10 negara ASEAN iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam, ASEM turut dianggotai Austria, Belgium, Bulgaria, China, Cyprus, Republik Czech, Denmark, Estonia, Finland, Perancis, Jerman, Greece, Hungary, India, Ireland, Itali, Jepun, Latvia, Lithuania, Luxembourg, Malta, Mongolia, Belanda, Pakistan, Poland, Portugal, Romania, Slovakia, Slovenia, Korea Selatan, Sepanyol, Sweden dan United Kingdom selain Sekretariat ASEAN dan Suruhanjaya Eropah.
Pesawat tanpa angkasawan India berlepas ke bulan
![]() |
| Gambar daripada Pertubuhan Penyelidikan Angkasa Lepas India merakamkan kejayaan pelancaran sulung pesawat angkasa lepas Chandrayaan-1 ke bulan dari tapak pelancaran di pusat angkasa lepas Satish Dhawan di Sriharikota, kira-kira 100 kilometer utara Chennai, semalam . - AP |
SRIHARIKOTA, India 22 Okt. - India melancarkan misi pertamanya ke bulan hari ini dengan mencatatkan satu kemajuan besar dan sejarah tersendiri untuk program angkasa lepas negara ini.
Pesawat tanpa angkasawan, Chandrayaan-1 atau "Kenderaan Bulan" yang dibina oleh Pertubuhan Penyelidikan Angkasa Lepas India (ISRO) berlepas dari Pusat Angkasa Lepas Sriharikota, di selatan India ini sejurus selepas subuh.
New Delhi berharap misi tersebut akan melonjakkan kedudukan negara ini dalam industri angkasa lepas global.
Pelancaran Chandrayaan-1 juga menandakan usaha India untuk menyaingi program angkasa lepas China.
Angkasawan China diraikan sebagai wira negara bulan lepas selepas menjalankan operasi pertama 'berjalan' di ruang angkasa, dan India tidak mahu ketinggalan.
"Pelancaran ini menandakan bermulanya satu perjalanan luar biasa," kata Pengerusi ISRO, G. Madhavan Nair.
Stesen televisyen India menyiarkan pelancaran itu secara langsung.
Sebilangan saintis yang terlibat dengan program itu mendabik dada, berpelukan dan bertepuk tangan apabila roket yang membawa pesawat tersebut dilancarkan.
Media mengalu-alukan pelancaran misi itu dengan nada patriotik.
Kos misi tersebut yang berjumlah AS$79 juta (RM277 juta) tidak persoalkan meskipun ratusan juta penduduk di negara ini masih hidup dalam kemiskinan dan berjuta-juta kanak-kanak mengalami kekurangan zat makanan.
Jika tiada masalah teknikal, pesawat tersebut akan memasuki orbit bulan dan menghabiskan dua tahun untuk memantau permukaan bulan bagi mencari tanda-tanda kewujudan air dan logam berharga.
Sejenis alat dikenali sebagai Moon Impactor Probe akan berpisah dari Chandrayaan-1 dan mendarat di bulan untuk mencungkil debu dari permukaan untuk dianalisis dengan instrumen di dalam pesawat itu.
Objektif utama adalah untuk mencari isotop Helium 3 yang jarang ditemui di bumi tetapi berguna untuk pengeluaran tenaga nuklear dan boleh menjadi sumber tenaga penting pada masa depan, kata saintis.
Little India unik dan menarik
![]() |
| SURI rumah tidak lepaskan peluang membeli-belah pelbagai keperluan di Little India di Jalan Bendahara, Melaka semalam. - Gambar ABDUL RAZAK LATIF |
MELAKA 22 Okt.- Nama Little India seperti sudah cukup sinonim digunakan sebagai jolokan kepada sesuatu kawasan yang perniagaannya dimonopoli masyarakat India.
Tidak terkecuali di Melaka, gelaran Little India diberikan di satu kawasan perniagaan masyarakat India di persimpangan Jalan Bendahara dan Jalan Temenggong, Banda Hilir di sini sejak 20 tahun lalu.
Papan tanda perniagaan yang turut tertera dalam tulisan Tamil dan daun-daun kelapa yang dianyam dan digantung di hadapan pintu menyerlahkan lagi identiti masyarakat India di kawasan tersebut.
Seperti di Little India di negeri-negeri lain antaranya di Brickfields, Kuala Lumpur, para pengunjung seharusnya sudah bersedia untuk menghidu bau harum yang terhasil daripada setanggi yang dibakar.
Sesekali, irama muzik lagu Tamil dan Hindustan yang dipasang peniaga akan menjadi hiburan yang mengatur rentak kaki pengunjung melangkah menyusuri kira-kira 20 buah khemah sementara menjual pelbagai keperluan Deepavali di hadapan bangunan rumah kedai yang berusia ratusan tahun itu.
Kelibat peniaga lelaki yang sudah lanjut usianya memakai kain pelekat sambil mengunyah sirih ditemani isteri yang memakai sari, akan menjadi landskap yang mewarnai kehidupan di sini.
Ditambah pula dengan deretan kedai yang menjual aksesori perhiasan wanita masyarakat India dari pelbagai warna, suasana begini turut menarik perhatian masyarakat berlainan bangsa dan agama.
Di kedai menjual bunga pula, kelihatan seorang wanita muda berpakaian sari begitu mahir menghasilkan kalungan bunga yang dikarang menggunakan bunga-bunga segar seperti melor dan kekwa menggunakan tali pokok pisang.
Ketika mata sedang liar memerhati segala pemandangan tadi, lemparkan seketika pandangan ke arah sekumpulan puluhan ekor burung merpati yang asyik berkerumun memakan bijian jagung di satu sudut jalan tersebut.
Salah seorang peniaga pakaian Punjabi di khemah sementara, R. Sumitha, 39, berkata, dia mula berniaga di situ sejak ia dibuka lima tahun lalu.
"Sambutan diterima di sini sangat menggalakkan setiap tahun di samping dapat menghiburkan diri dengan suasana musim perayaan.
"Ibarat masyarakat Islam dengan bazar Ramadan, begitulah juga masyarakat India dengan Little India kerana semuanya yang berkaitan perayaan Deepavali ada dijual di sini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Peniaga kuih muih masyarakat India, S. L. Mohan, 45, berkata, uniknya tentang Little India di Jalan Bendahara ialah ia akan dikunjungi pelbagai lapisan bangsa dan agama sejak mula dibuka pada pukul 10 pagi hingga 10 malam.
"Walaupun perniagaan agak perlahan, tetapi ia masih dikunjungi termasuk pelancong asing tambahan pula Melaka yang terkenal sebagai negeri pelancongan kerana kepelbagaian barangan yang dijual.
"Pendek kata, apa sahaja keperluan yang berkaitan dengan masyarakat India ada di jual di sini," katanya sambil berharap usaha mempromosikan kawasan tersebut oleh kerajaan negeri dapat dipergiatkan lagi.
Peniaga barangan keperluan rumah, M. Anilkumar, 64, berharap, Jalan Bendahara akan terus dikenali sebagai Little India dan menjadi pusat aktiviti sosial dan perniagaan masyarakat India.
"Harmoninya Melaka kerana mempunyai Jonker Walk merujuk kepada masyarakat Cina, Jalan Hang Tuah bagi masyarakat Melayu maka persimpangan Jalan Temenggong dan Jalan Bendahara bagi masyarakat India," katanya.
Sementara itu, salah seorang pengunjung, Tan Din Ding, 39, ketika ditemui berkata, ini adalah kali pertama dia berkunjung ke Little India di Jalan Bendahara dan tertarik dengannya.
"Sebagai rakyat Malaysia yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum dan agama saya akan menyambut perayaan semua kaum di Malaysia.
"Nampaknya, tahun ini, saya akan pakai sari yang dibeli di sini dan tidak sabar untuk menggayakan di hari Deepavali nanti," katanya yang turut mempunyai koleksi pakaian tradisional baju kurung dan Cheongsam bagi masyarakat Cina.
Kemudahan OKU ditingkat
![]() |
| MOHD. Zain Mat Taha (bersongkok) melayani kanak-kanak istimewa yang menjadi tetamu khas majlis sambutan Aidilfitri KTM Komuter di Stesen Sentral Kuala Lumpur, baru-baru ini. |
KUALA LUMPUR 22 Okt. – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memperuntukkan RM17 juta bagi menambah baik kemudahan untuk golongan orang kurang upaya (OKU) pada perkhidmatan komuternya.
Pengurus Besar Perkhidmatan Komuter KTMB, Mohd. Zain Mat Taha berkata, penambahbaikan tersebut dilaksanakan bagi memberi lebih keselesaan kepada pengguna golongan OKU serta menggalakkan mereka menggunakan pengangkutan awam.
Katanya, peruntukan tersebut melibatkan penambahbaikan di lapan buah stesen komuter di sekitar Lembah Klang.
Ujarnya, penambahbaikan tersebut merangkumi pembinaan laluan untuk kerusi roda, lif penumpang, tandas OKU, pemasangan jubin jenis tact tiles dan baik pulih sistem pembesar suara.
“Setakat ini, lapan stesen sahaja yang akan dilaksanakan penambahbaikan itu dan enam daripadanya sudah siap iaitu di stesen Kepong Sentral, Mid Valley, Subang Jaya, Kajang, Bank Negara dan Seremban manakala stesen Rawang dan Nilai dijangka siap sepenuhnya pada tahun depan.
“Bagaimanapun, bagi pemasangan tact tiles, ia akan melibatkan semua stesen komuter dan setakat ini, 60 peratus kerja pemasangan telah disiapkan,” katanya ketika sidang akhbar selepas menghadiri majlis Sambutan Aidilfitri KTM Komuter 2008 bersama anak istimewa di Stesen Sentral Kuala Lumpur di sini.
Mengulas lanjut, Mohd. Zain berkata, kemudahan bagi golongan OKU tersebut akan dilaksanakan di seluruh stesen termasuk stesen baru seperti ke Senawang dan Sungai Gadut dan dijangka siap pada 2012.
Jelasnya, bagi fasa pertama, penambahbaikan kemudahan tersebut akan melibatkan laluan dari Rawang ke Seremban dan Sentul ke Port Klang sahaja.
“KTMB akan menambah baik kemudahan ini secara berterusan bagi memberi peluang golongan OKU menikmati kemudahan perkhidmatan komuter seperti insan normal.
“Selain itu, ia juga adalah sebahagian tanggungjawab KTMB sebagai tanda keprihatinan terhadap pengguna daripada golongan OKU ini,” jelasnya.
Dalam pada itu, pada majlis tersebut, seramai 39 pelajar istimewa dari lima sekolah di sekitar Seremban diraikan oleh KTMB.
Selain jamuan makan, pelajar berkenaan diberi peluang mengasah bakat dengan menyertai aktiviti pertandingan mewarna dan menyusun puzzle khas yang disediakan KTMB.
Sempena majlis tersebut, pelajar berkenaan turut diberi peluang merasai pengalaman menaiki KTM Komuter.
Selamba curi air, elektrik
![]() |
| Selvaraju Karupiah menunjukkan sambungan haram dari sebatang tiang lampu yang didakwa dilakukan oleh seorang peniaga di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur. - Gambar NASIRRUDDIN YAZID |
KUALA LUMPUR 22 Okt. - Seorang peniaga makanan di Jalan Masjid India di sini didakwa mengaut untung besar apabila tidak perlu menanggung kos air dan elektrik untuk menjalankan operasi gerainya itu.
Selain itu, dia juga didakwa tidak mempunyai lesen perniagaan seperti mana yang dimiliki oleh pemilik-pemilik gerai lain di situ.
Perbuatannya itu didedahkan oleh seorang pegawai keselamatan sebuah kompleks perniagaan di situ kerana bimbang perbuatan peniaga itu akan menyebabkan berlaku kejadian yang tidak diingini.
Pegawai keselamatan di Haniffa Textile, Selvaraju Karupiah berkata, dia mendedahkan perbuatan itu kerana berasa bertanggungjawab terhadap keselamatan premis majikannya, selain aduannya kepada pihak berkuasa sebelum ini tidak berkesan.
"Saya pernah membuat aduan lisan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tetapi tiada tindakan diambil.
"Selepas itu saya melaporkan pula kepada pihak polis pada 10 Oktober lalu, keadaan yang sama juga berlaku," katanya sambil menunjukkan salinan aduannya.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati peniaga berkenaan mendapatkan bekalan air dari pili bomba menerusi sambungan haram yang dilakukan di dalam longkang berhampiran pintu belakang kompleks perniagaan itu.
Jarak pili bomba berkenaan dengan gerainya ialah kira-kira 100 meter.
Bekalan elektrik pula diperoleh dengan membuat sambungan pada sebatang tiang lampu di hadapan pejabat Alam Flora di situ, kira-kira 50 meter dari gerainya.
Tiang lampu itu mempunyai kotak meter tetapi sudah tidak berfungsi.
Selvaraju berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab itu telah lama dilakukan oleh peniaga berkenaan tanpa memikirkan risikonya kepada orang lain walaupun selepas beberapa kali diberi teguran.
"Dia keras kepala. Selepas saya melaporkan perbuatannya kepada DBKL, beberapa orang penguat kuasa datang ke kedainya... selepas itu tiada apa-apa berlaku dan dia masih berniaga seperti biasa.
"Malah, peniaga itu datang memarahi saya dan berlagak sombong dengan berkata, dia tidak gentar walau kepada siapa saya membuat laporan," dakwanya.
Bosan dengan sikap pihak berkuasa, dia telah beberapa kali mengambil tindakan sendiri dengan memotong paip air yang melalui premis majikannya namun, katanya, peniaga itu menyambungnya semula.
"Saya tidak berani memotong bekalan elektriknya kerana ia merbahaya. Setiap kali saya potong paipnya dia akan menyambungnya semula dan memaki hamun pekerja saya," ujarnya.
Katanya, peniaga itu tidak mendapat bekalan air dan elektrik secara sah seperti peniaga lain kerana tidak mempunyai lesen.
Selain itu, katanya, peniaga berkenaan juga sering meninggalkan sebuah van miliknya betul-betul di sebelah dinding zink yang dipasang oleh kontraktor yang sedang membina gedung tekstil itu walaupun terdapat papan tanda amaran ditampal di situ.
"Papan tanda amaran diletakkan kerana kami bimbang ada benda yang jatuh semasa kerja-kerja pembinaan dilakukan.
"Saya fikir dia sengaja berbuat begitu untuk mendapatkan ganti rugi. Ini kerana setiap kali ada barang jatuh dan kena vannya, dia akan datang dengan marah-marah dan meminta dibayar... dan kami terpaksa melayani tuntutannya," ujarnya.
Beberapa pekerja Alam Flora yang ditemui turut mengesahkan perbuatan peniaga berkenaan.
Menurut mereka, perbuatan peniaga itu meletakkan vannya di kawasan berkenaan telah mengganggu mereka untuk meletakkan tong-tong sampah.
Selvaraju meminta pihak berkuasa seperti DBKL, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Tenaga Nasional Berhad mengambil tindakan sewajarnya sebelum kejadian buruk berlaku.
Bapa terima ijazah, anak dapat diploma
![]() |
| Noor Asma Mohd. Noor (tengah) melihat ijazah suaminya, Ahmad Razei Abu Bakar sambil diperhatikan anaknya, Nur Nadjah yang turut menerima diploma di UPM Serdang, semalam. |
KUALA LUMPUR 22 Okt. – Dengan keazaman dan tekad untuk menjadi contoh kepada anak-anak, seorang bapa kepada 11 orang anak berjaya menerima Ijazah Sarjana dalam bidang Linguistik pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) Ke-32 di Serdang.
Kejayaan Ahmad Razei Abu Bakar, 49, itu lebih bermakna lagi kerana pada majlis itu, anaknya, Nur Nadjah Ahmad Razei, 21, turut menerima Diploma Pengurusan Perladangan Makanan.
Ahmad yang merupakan bekas kerani di UPM pada tahun 1979 menjadikan kejayaan anak-anak muda yang memperoleh ijazah dalam bidang masing-masing sebagai pendorong untuk melanjutkan pelajaran.
Menurutnya, beliau memilih untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah selepas teruja melihat ramai anak-anak muda yang belajar di UPM berjaya dalam pelajaran.
“Mereka semua telah berjaya dan sekarang saya juga tidak mahu ketinggalan untuk bersama-sama menggenggam segulung ijazah yang telah lama saya idamkan.
“Saya sedar tanpa pelajaran dan ilmu pengetahuan, kita tidak akan mampu untuk bersaing,” katanya ketika ditemui selepas majlis konvokesyen itu di sini hari ini.
Beliau yang juga seorang pegawai keselamatan berkata, kejayaan hari ini adalah berkat doa dan sokongan moral yang diberikan oleh isteri dan keluarga.
“Merekalah yang selama ini menjadi pembakar semangat untuk saya melanjutkan pelajaran ke peringkat ini.
“Saya mempunyai 11 orang anak dan saya mahu mereka berjaya. Sebagai ayah kita harus menjadi contoh kepada anak-anak,” jelasnya.
Sementara itu, Nur Nadjah berkata, beliau bangga dengan kejayaan ayahnya hari ini dan rasa bersyukur kerana mereka berdua berjaya menamatkan pelajaran.
Berkat kesabaran dan muafakat, katanya, mereka akhirnya berjaya meneruskan pengajian dan memperoleh apa yang diidamkan.
“Saya juga akan buktikan kepada ayah saya bahawa saya juga nanti akan berjaya memegang segulung ijazah sarjana,” ujarnya.
Kereta rosak teruk dihempap tanah runtuh
![]() |
| ANGGOTA Bomba dan Penyelamat mengeluarkan salah sebuah kereta yang tertimbus akibat tanah runtuh di kawasan perumahan pangsapuri Taman Paya Terubong, Pulau Pinang semalam. Gambar SAZALI CHE DIN |
PULAU PINANG 22 Okt. – Sebuah kereta milik seorang penghuni Pangsapuri Taman Paya Terubong di sini rosak teruk akibat terbenam dalam kejadian tanah runtuh kira-kira 2.30 pagi tadi.
Bagaimanapun, kejadian tersebut tidak melibatkan kehilangan nyawa.
Menceritakan kejadian itu, mangsa, seorang jurutera Teh Han Cheow, 34, berkata, dia tidak menyangka bunyi kuat yang didengari di belakang rumahnya dekat sini awal pagi tadi adalah bunyi tanah runtuh.
Dia yang kemudian bergegas turun terkejut melihat kereta Honda City miliknya terbenam di bawah runtuhan tanah itu.
‘‘Hujan lebat bermula kira-kira pukul 12 tengah malam tadi. Beberapa jam kemudian saya dikejutkan bunyi bising jiran-jiran yang mengatakan ada kejadian tanah runtuh.
‘‘Kejadian ini menyebabkan saya ‘patah kaki’ kerana satu-satunya kereta yang saya ada musnah dalam kejadian ini dan menyukarkan saya untuk ke tempat kerja,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu, kereta Han Cheow yang diletakkan di bahagian tepi tempat letak kereta itu musnah sama sekali dihempap pokok dan tanah.
Dua buah jentera bomba daripada Balai Bomba Paya Terubong dan Bomba Sukarela Paya Terubong membantu mengeluarkan kereta itu daripada runtuhan.
Jelas Han Cheow, ketika pulang dari kerja kira-kira pukul 8 malam, hujan masih belum turun dan dia merasakan selamat untuk meletakkan kereta di situ.
Isterinya, Eva Hen, 31, pula berkata, kejadian itu adalah kali kedua berlaku di kawasan perumahan tersebut namun kali pertama melibatkan kereta milik penghuni.
‘‘Pada tahun 2003, ia tidak melibatkan sebarang kerosakan kerana ramai penghuni keluar bekerja tetapi kini ia berlaku ketika penghuni ada di rumah,” ujarnya.
Dalam pada itu, seorang lagi mangsa, Sunny Pan, 40-an berkata, kos membaiki keretanya mungkin sehingga RM5,000 kerana bonet depannya remuk teruk.
‘‘Tapi nasib saya tak seburuk Han Cheow kerana kereta ini boleh digunakan lagi,” katanya.
Posts: 185
Comments: 37
hello there....nice to know you all...and a very thankful to frenszone coz created this network social networking...and who wanna be my friends....very2 welcome...
![]() |















